Saturday, October 6, 2018
Cerpen - Sweet ke Annoying?? - Bahagian 2
Perjalanan daripada Chalet Pandan Laut ke lokasi hatcheri pemuliharaan penyu tidaklah jauh, lebih kurang 15 minit perjalanan sahaja. Mereka menyusuri jalan kampung yang sangat unik. Di kanannya pantai manakala kiri mereka adalah sungai. Suasana kampung itu sungguh mendamaikan.
Setibanya di lokasi pengambaran, mereka semua berjalan kaki menuju ke hatcheri pemuliharaan penyu memandangkan kenderaan perlu diparkir agak jauh. Norman dan Melissa berjalan laju menuju ke lokasi pengambaran pertama mereka. Kelihatan dua wanita sedang menunggu mereka.
Norman terus memperkenalkan diri dan krew-krewnya. Dua orang wanita itu adalah orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hatcheri pemuliharaan penyu ini. Mereka adalah Cik Akmar dan Ani. Cik Akmar yang bertindak sebagai pegawai atasan telah menerangkan serba ringkas mengenai usaha mereka memulihara penyu.
Hatcheri ini adalah usahasama Jabatan Perikanan Terengganu dalam memastikan kelangsungan spesis penyu di Malaysia. Penyu yang mendarat di daerah ini adalah Penyu Agar. Telur-telur penyu akan dikutip oleh pekerja-pekerja yang telah dibayar dan mereka akan menghantar telur-telur itu ke hatcheri ini. Kemudian, telur-telur yang dihantar akan ditanam di tapak hatcheri oleh pekerja hatcheri. Jadi, kewujudan hatcheri ini adalah untuk mengurangkan risiko kecurian telur dan kematian anak dan juga meningkatkan peratusan penetasan telur.
Seterusnya, selepas lebih kurang 90 hari, telur ini akan menetas dan akan anak-anak penyu akan dilepaskana di pantai asal telur dikutip. Ini kerana penyu adalah makhluk Allah yang unik. Anak-anak penyu ini akan kembali semula ke pantai asal mereka setelah lebih kurang 10 tahun untuk tujuan pembiakan dan bertelur.
Untuk tujuan rekod, setiap sarang penyu yang sudah menetas akan diperiksa. Bilangan telur yang berjaya dan tidak berjaya menetas akan dikira.
Sebelum memulakan pengambaran, Bob dan Azhar telah merakam anak-anak penyu dan tuntung laut yang baru menetas. Anak penyu akan dilepaskan ke pantai pada petang itu oleh pekerja hatcheri manakala anak tuntung akan dilepaskan oleh Norman dan krewnya dengan kebenaran Cik Akmar dan dipantau oleh Ani. Mereka semua tidak dibenarkan memegang anak-anak penyu dan tuntung tanpa sarung tangan kerana ditakuti berlaku perpindahan bakteria.
Selain penyu, tuntung laut juga mempunyai habitat yang unik. Ia hidup di kawasan air tawar iaitu sungai. Ketika hendak bertelur, tuntung laut ini akan berenang ke laut dan menuju ke persisiran pantai. Ia akan kembali semula ke sungai apabila selesai bertelur.
Azza telah memulakan rakaman dengan memberikan penerangan mengenai hatcheri pemuliharaan penyu daerah Setiu. Dia juga tidak lupa memperkenalkan Cik Akmar dan Ani.
Di satu sudut, Tajul hanya menjadi pemerhati. Kadang-kala mengambil gambar krew menggunakan telefon pintar miliknya.
"Ade mende ni, boh?" tanya seorang pemuda yang hampir seusia dengan Tajul. Terjongket bahu Tajul dengan sapaan mengejut daripada pemuda itu.
"Kejut ke, boh? Maah deh boh. Kito pelikang ni bilo lalu sini ade rama orang. Dok sekke tepak gini rama orang. Kito namo Taha. Ado mende benanye ni boh?".
"Ada pengambaran," jawab Tajul ringkas. Dia masih lagi terkejut.
"Pehh. Femeh molek kampong kito. Dokleh ke kawang nok nyelit siket? Cakak sepatoh due cukup doh," kata pemuda itu dengan sengih meleret. Ketawa Tajul dengan permintaan pemuda itu. Ingat senang-senang agaknya.
"Saya tak tahu, bang. Saya pun tak terlibat dengan rakaman ni. Kalau abang betul-betul nak, apa kata abang pergi tanya pengarah projek tu," kata Tajul sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah Norman. Pemuda itu terus memerhatikan Norman. Ada kerutan di dahinya.
"Batpe kawang tengok seyes macang muke die, boh. Lagu dok makang lagi jah," pecah ketawa Tajul. Pemuda itu terus memerhatikan wajah serius Norman.
"Tengah kerja, bang. Biasalah tu," balas Tajul. Tiba-tiba telefon milik Tajul berbunyi.
"Hallo. Ho, mok. Kito beli doh. Dokkk, bukang takmboh balik llalu. Kito ado Mangkuk ni. Ado orang wak rakamang filem," pemuda itu berhenti sebentar. Hanya sedikit pertuturan pemuda itu yang difahami Tajul.
"Ho la, kite balik la llalu ni," pemuda itu mematikan talian. "Boh, dok dang kite nok masuk tibi. Mem kite kat rumoh nok tuka Incredible Hulk doh. Kito gerok dulu deh," Tajul hanya senyum dan mengangguk. Tak pasti sama ada orang yang menyuruhnya balik adalah ibu atau isterinya. Setelah bersalam, pemuda itu menuju ke motornya dan memecut laju.
Azza dirakam sedang membersih dan memeriksa sarang sambil ditemani oleh Ani. Mereka perlu mengorek sarang penyu yang kedalamannya lebih kurang satu hasta dan mencari kulit-kulit telur penyu.
"Ani, selalunya kerja pemeriksaan sarang ni dilakukan pada waktu bila?". Azza sengaja mengajak Ani berbual agar Ani berasa selesa. Dia dari tadi kelihatan canggung.
"Bese kite wak waktu pagi. Dok pong petang. Bese cari waktu hok redup la". Ani tersenyum ke arah Azza.
"Oh, kiranya, kami datang salah waktu la ya?"
"Dakpe la, sekale orang laing mari lawat sini dok netu waktu gok." Jawapan Ani menyenangkan hati Azza.
Melalui pemeriksaan mereka berdua, hanya dua biji telur yang tidak menetas kerana tidak disenyawakan. Kulit-kulit telur dan telur yang busuk seterusnya ditanam di dalam lubang yang telah digali oleh Ani terlebih dahulu.
Memandangkan semua rakaman telah selesai, Cik Akmar terpaksa meminta diri kerana ada urusan yang harus diselesaikan. Krew yang lain hanya berehat di bawah pondok kecik yang ada disitu sambil menikmati keindahan pantai.
"Ani da lama kerja di sini?" tanya Nanie.
"Lame dok lame la. Tigo tahung doh".
"Ani tahu tak dekat mana kami boleh cari orang yang hantar telur ke sini? Kami ingat nak ikut mereka pergi kutip telur," tanya Melissa. Ani mendiamkan diri sebentar.
"Ado sorang pokcik ni buleh wi kejesame. Ye duk dok jauh dari Pandang Laut nung"
"Ani ada nombor telefon dia tak?"
"Kite takdok. Tapi kalu nok kite bawok gi umoh ye, buleh jah. Tapi petang sikek lah, lepah sorang lagi pekerje mari ganti kite." Melissa terus bersetuju lalu memberitahu Norman.
Hampir 15 minit berlalu, mereka bergerak ke sungai untuk melepaskan anak-anak tuntung laut. Ani membawa baldi berisi anak tuntung laut dan menuju ke arah sungai diikuti oleh krew yang lain. Norman dan Azza memakai sarung tangan lalu melepaskan anak-anak tuntung laut ke pinggir sungai. Semua krew teruja melihat kecomelan anak-anak tuntung laut itu berjalan ke arah air. Bob dan Azhar tidak melepaskan peluang merakam aksi mereka dari sudut yang berbeza.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment