Monday, October 8, 2018

Cerpen - Sweet ke Annoying?? - Bahagian 3


"Mel, aku nak pergi jalan-jalan dekat pantai boleh?"

Persoalan azza itu mengerutkan dahi Melissa. Dah kenapa matahari terpacak nak ke pantai pula.

"Panaslah, Azza. Baik kau rehat. Petang nanti nak ke rumah pakcik yang kutip telur tu pula."

"Aku pergi sekejap saja. Nak tangkap dua tiga keping gambar, lepas tu aku balik lah. Boleh la, Mel," rayu Azza. Melissa berfikir panjang.

"Baiklah, tapi 30 minit sahaja aku bagi. Jangan lupa maklumkan Norman. Hati-hati." Azza sudah melompat keriangan. Dia segera mencapai camera DSLR di beg galas peribadinya dan berlalu keluar bilik.
'Macam budak-budak,' gumam Melissa.



Azza berlari anak menuju ke Pantai Rhu 10. Ketika ini, baru pukul 2 petang. Tidak ramai orang yang berkunjung ke situ. Azza segera menekan butang 'on' lalu mengabadikan beberapa keping gambar sebagai koleksi peribadinya. Dia mengambil gambar pantai, pokok juga beberapa orang pengunjung yang duduk di gazebo dan kerusi berhadapan pantai.

Azza terdetik untuk melakukan temuramah ringkas dengan penduduk tempatan. Bukanlah untuk tujuan komersial, lebih kepada koleksi peribadi. Dia segera menukar mod video pada kameranya. Mata Azza meliar mencari pengunjung yang dirasakan sesuai untuk ditemuramah. Bola matanya berhenti pada sekumpulan lelaki yang sedang leka berborak. Butang mula ditekan lalu terus merakam aksi tiga orang pemuda itu dari jauh. Kemudian kakinya melangkah mendekati mereka.

"Hai, abang-abang. Boleh saya temuramah sikit? Abang penduduk kawasan ni ke?" pemuda-pemuda itu tercengang dan memandang Azza kehairanan.

"Orang bando mane pulok ni tibe-tibe mari tangkap gambo kite ni Piang?," bunyi salah seorang daripada mereka tanpa mempedulikan pertanyaan Azza.

"Tanye macang aku kena. Dakpe, biya aku cakak dengang die," pemuda yang dipercayai bernama Piang itu berdehem.

"Datang dari KL ke cik adik?" Azza ingin mengangguk tetapi dua lagi rakan pemuda itu sudah ketawa besar.

"Sedak molek mung cakak lua. Gaye lupe daratang," mereka bertiga menyambung ketawa.

Kamera milik Azza masih lagi merakam tiga orang pemuda itu. Azza tidak faham dialek mereka. Apa yang kelakar sangat?

"Boleh tak kalau saya nak temuramah ni?" Azza tidak berputus asa tetapi nada suaranya sudah berubah.

"Gini ah orang KL. Mung doh lah datang tibe-tibe kapung orang. Salang dok bagi. Mung dok blajo care hormat ke orang ko? Muke jangok doh. Gaye peseng blajo tinggi tapi dok reti hormat orang. Parok molek. Maing terjoh gitu jah. Orang bando memey lagu ni ko?"

Azza tidak begitu memahami butir kata yang dikeluarkan pemuda itu tetapi dia tahu dia sedang diperkotak-katikkan. Ditambah pula dengan wajah sinis dua orang lagi rakannya.
Muka Azza merah padam menahan malu dan marah. Lantas kakinya melangkah laju meninggalkan tiga orang pemuda itu.



Azza membuka kasar pintu biliknya, mengejutkan Melissa yang sedang menonton televisyen.
"Kau dah kenapa? Ada tsunami ke dekat luar?"
Azza tidak menjawab. Dia terus baring di sebelah Melissa dan bermain dengan telefon pintarnya. Melihat Azza seperti tidak mahu menjawab soalannya, Melissa malas ingin bertanya lagi. Biarkan Azza sejuk dulu.



Tepat jam 5 petang, mereka semua sudah menunggu di hadapan SMK Penarik. Lebih kurang 5 minit selepas itu, Ani sampai menaiki motorsikal. Tanpa memberhentikan motosikalnya, Ani memberi isyarat tangan supaya mereka mengikutnya.

Mereka tiba di sebuah rumah kampung. Parkir betul-betul di hadapan rumah itu, mereka keluar daripada kenderaan lalu memberi salam. Seorang lelaki sekitar 50-an muncul di pintu rumah sambil menjawab salam. Mukanya kehairanan melihai ramai orang yang tidak dikenalinya berada di perkarangan rumah. Lagi-lagi apabila melihat Bob dan Azhar membawa kamera mereka. Segera lelaki itu meminta jawapan daripada Ani.

"Wak mende rama-rama mari rumoh Pok Manap ni?"

"Jangang wak muko kejjut gitu gok Pok Manap. Deme ni belajo lagi, mari dari KL. Buat pengambarang kat tepat kite ni," penerangan ringkas Ani itu menghilangkan sedikit gusar di hati tua itu.

Tangan Pak Manap dan Norman bertaut. Norman memperkenalkan diri dan tujuan mereka datang menemui Pak Manap.

"Oh, nok tanye pasal penyu. Ingak mende tadi. Mari masuk dulu. Dok kang nok cite atah tangge ni." Pak Manap bertukar peramah. Krew yang lain juga turut naik ke atas rumah Pak Manap. Rumahnya masih mengekalkan seni bina trasisional. Cuma tangga diperbuat daripada batu, yang lainnya masih mengekalkan penggunaan kayu. Aturan perabotnya nampak kemas, diletakkan pada ruang tamu yang luas.

"Moh, mari klua betta," Pak Manap memanggil isterinya. Tidak lama selepas itu, datang seorang wanita yang kelihatan hampir seusia dengan Pak Manap.

"Ha, ni awek Pok Manap," wanita itu hanya tersenyum dengan gurauan Pak Manap itu. Dia segera menyalami Azza, Melissa, Fiya dan Nanie.

"Pok Manap ni brahi sungguh gura. Loya burok sokmo. Duduk dulu deh. Mokcik gi wak air betta."

"Tak payah susah-susah, makcik," ujar Melissa.

"Bende ade sedia. Betta deh." Mak Mah terus berlalu ke dapur menyediakan air dan hidangan ringan untuk tetamu mereka.

"Pak Manap duduk berdua je?" tanya Fiya.

"Dok. Anok Pok Manap pong duduk skali. Die pung keje kali dengang Pok Manap. Die kluo kejap jupe saing ye. Orang mude."

Serentak Pak Manap menghabiskan ayatnya, kedengaran bunyi motor masuk ke peekarangan rumah.

"Panjang umor. Balik doh tu." Seorang pemuda melangkah masuk ke dalam rumah.

"Assalamualaikum. Nape rama ni, yoh?" Azza mengangkat muka ke arah pemuda itu.

'Cis, kecil rupanya Setiu ni!'

Pemuda itu terus bersalam dengan semua krew lelaki. Ketika bersalam dengan Tajul, dahi pemuda itu berkerut.

"Boh, kite jupe sakni kang? Taha. Taha. Ingak dok?"

Pemuda itu teruja, Tajul mengangguk.

"Kena marah tak dengan mem tadi?" Tajul tersengih.

"Kawang biase doh." Taha tergelak. "Ayoh, kite juppe doh sek ni kak hatcheri sakni. Cakak doh ngang die ni."

"Mu wak mende sapa hatcheri? Mok suroh mung beli sattey, jauh mung ngayap," Mak Mah tiba-tiba muncul dari dapur.

"Kito dok tahu nape kito nok sangat gi sane. Ingak nok cari nattu ko mok, skali jupe orang tibi. Mok, mungkin Allah nok tunjok kite benanye artis," Norman dan Pak Manap tergelak dengan celoteh Taha. Yang lain hanya termangu kerana tidak faham apa yang dikatakan oleh Taha.

"Kalu mok layang ke mung, pah esok dok abih," Mak Mah sudah membuat muka. "Makang blake deh. Tak dop mende pong nak hidang. Ni jah."

"Kuih apa ni, makcik?" Taha memandang ke arah pemilik suara itu. Macam kenal.

Memang sengaja Azza bersuara agar Taha tahu orang yang dikenakannya tadi ada di dalam rumahnya. Riak muka Taha agak terkejut tetapi cuba disembunyikan.

'Janganglah dio kabo ke ayoh. Abih aku!'


No comments:

Post a Comment