Sunday, October 14, 2018

Cerpen - Sweet ke Annoying?? - Bahagian 4




"Kuih apa ni, makcik?" Taha memandang ke arah pemilik suara itu. Macam kenal. Memang sengaja Azza bersuara agar Taha tahu orang yang dikenakannya tadi ada di dalam rumahnya. Riak muka Taha agak terkejut tetapi cuba disembunyikan.

'Janganglah dio kabo ke ayoh. Abih aku!'

"Puteri Ayu. Makang lah. Wak diri ni.
Azza dan yang lain menyuap kuih Puteri Ayu.
"Sedap!" Kata Azza sambil tersenyum. Taha pula sudah tidak senang duduk!


Norman mengajak Pak Manap berbincang mengenai kedatangan mereka ke Setiu. Dia menjelaskan yang mereka adalah pelajar dari kolej tempatan yang membuat rakaman sebagai tugasan semester akhir mereka. Mereka berhasrat untuk mengikut Pak Manap meronda pantai dan mengutip telur penyu.

"Pok Manap takdok bende tapi patutnye dokleh rama kalu nok ronde patta ni. Senang cite, kalu bising pahtu rama orang, penyu takmboh naik patta. Lagipung, penyu ni dokleh silau etek. Patta tepak Pak Manap nga Taha ronde tu gelap. Lapu pecet pong kite gune wat isyarat jah."

Norman mengangguk. Dia sedar, pemuliharaan penyu juga harus dititikberatkan dalam projek mereka ini.

"Pok Manap cadang gini, deme wak rakamang maso kutip telo jah. Care nok kutip telo hok beto. Maknanye, bile ade telo, baru Pok Manap tepong ke Norman." Norman bersetuju. Rakaman mengutip telur penyu pun sudah jadi bonus bagi mereka semua.

Taha hanya berdiam diri sedari tadi. Sesekali dia memandang Azza yang memandang tajam ke arahnya. Ada rasa bersalah bersarang dalam hatinya.

"Pahni nok gi mane lagi boh?" Taha bersuara.
Berharap mereka segera meninggalkan Setiu.

"Esok kito gi Setiu Wetland. Tepak tanam bakau nung. Wak rakamang pasa tanam bakau ngang cari lokang."

"Moleh ah gitu. Taha kena rapat ngang Ayahku, orang kuat Setiu Wetland. Kalu nok mudoh, bawok ye skali. Carik lokang pong die panda."

"Mende ayoh ni," Taha tidak setuju di dalam hati. Melissa dapat menangkap maksud perbualan mereka.

"Taha kenal Ayahku ke? Kalau kenal, boleh la ikut sekali. Senang kami nak berurusan dengan Ayahku. Lagipun, Norman saja yang pandai cari lokan. Kalau Taha ada, boleh juga tolong-tolong.
'Jangan berani-berani kau setuju!' Azza hanya mampu berkata di dalam hati dan memandang Taha dengan pandangan tajam.

"Gi jela, Taha. Mu bukang wak nape pong. Kate nok masok tibi. Kire dio setuju jah. Malu-malu kucing pulok," Mak Mah bersuara. Yang lain hanya tersenyum. Nafas Taha semakin sesak.



Keesokan harinya, mereka sampai di nurseri pokok bakau dan nipah di Setiu Wetland. Mereka duduk di pondok berdekatan dan berborak di situ bersama dua orang veteran yang bertanggungjawab menjaga kawasan ini, Ayahku dan Pak Mi.

Mereka ini nampak sahaja berpenampilan orang kampung tetapi minda mereka sangat terbuka untuk menyelamatkan kawasan bakau. Azza dan Norman yang banyak bertanya soalan. Sesekali Bob dan Azhar merakam perbualan mereka.

Taha yang turut serta cuba mengelak daripada bertembung dengan Azza. Setelah berbual, mereka mengangkat beberapa anak-anak pokok bakau dan nipah yang masih di dalam polibeg untuk ditanam semula di kawasan bakau. Taha juga turut membantu.

Mereka semua perlu memasuki tanah berselut untuk menanam pokok itu. Bob dan Azhar memulakan rakaman sejak anak pokok diangkat diikuti penerangan ringkas daripada Azza. Taha terpengun melihat kepetahan Azza bercakap di depan kamera. Penerangan yang disulami senyuman itu menjadikan fakta menjadi menarik.
'Kalu aku, jadi mende la'


Semua krew mula memasuki kawasan berselut termasuk Taha. Azza berjalan paling belakang. Dia menghadapi kesukaran berjalan di kawasan itu. Semua krew sudah berada di depan.

"Azza, cepat la. Nak rakam tanam pokok ni."

Melissa menjerit dari jauh. Azza cuba berjalan lebih cepat malangnya dia telah terjatuh. Separuh badannya diliputi selut.

"Mel!"

"Azza! Kau jatuh ke?"

Taha yang paling dekat dengan Azza menoleh ke belakang. Dia meletakkan anak pokok yang di pegangnya lalu mendekati Azza. Muka Azza seperti hendak menangis. Dia cuba untuk bangkit tetapi sukar kerana kakinya terbenam ke dalam selut.

"Wak mari tangang mung." Azza menoleh. Kerana ego, Azza menggeleng. Dia cuba juga untuk bangun sendiri.

"Mu bulih ke nok bangung diri? Nok aku dukung ke guane?" Azza segera mencapai lengan Taha ketika melihat Taha seperti ingin mendukungnya. Taha pula tersenyum. Dia tidaklah gila hendak mendukung anak dara orang sesuka hati. Dia masih tahu batas-batas.

Lengan Taha yang berlapik baju lengan panjang itu segera dilepaskan setelah Azza mampu berdiri.

Tanpa berterima kasih, Azza ingin terus melangkah laju menuju ke arah krew yang lain. Malangnya, Azza hilang imbangan, mujur Taha sempat mencapai lengannya. Azza menjeling manakala Taha tidak beriak. Cepat-cepat dia melepaskan lengan Azza.

"Azza, cepatlah! Jangan buat drama Korea pulak dekat Setiu ni!" Melissa tersengih dari jauh, begitu juga krew yang lain. Taha menghulurkan lengannya kepada Azza.

"Saing mung tunggu lame doh tu. Lekah la."

Azza seperti tiada pilihan. Dia memegang lengan Taha dan mereka berjalan ke arah krew.

Azza tetap mengadakan rakaman walaupun separuh badannya dipenuhi lumpur. Dia menerangkan cara yang betul untuk menanam semula anak pokok bakau dan nipah diikuti dengan cara mencari lokan.

Selesai mencari lokan, mereka semua menyalakan api dan membakar lokan-lokan tersebut. Taha kerap mencuri pandang Azza. Terasa ada hati yang telah jatuh. Jangan berkecai sudah.



"Panasnya. Aku cop bilik air dulu,"

"Pergilah, kau pun seronok main selut aku tengok."
Melissa memgangkat kening berulang kali seperti ada maksud tersirat yang cuba disampaikan. Tetapi tidak dilayan oleh Azza.

"Aku rasa Taha syok dekat kau," Azza buat tak dengar lalu terus menuju ke bilik air. Dia dengar Melissa ketawa daripada luar. Saja nak mengenakan dirinya.

'Apa sebenarnya yang aku rasa? Bukan aku benci dia ke? Tapi kenapa aku rasa berdebar-debar?'

No comments:

Post a Comment